MUḤAMMAD ﷺ CAHAYANYA PENYULUH KEGELAPAN
Sambutan Maulid Nabi adalah sunnah hasanah atau bid'ah hasanah. Tidak termasuk dalam al-iţrā' (menyebut kalimah pujian melampau) yang dilarang oleh Rasulullah ﷺ dengan sabdaannya:
لا تُطْروني كما أطْرَتِ النَّصارى الْمَسيحَ ابنَ مَرْيَمَ
“Janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan dalam menyanjungku, seperti berlebih-lebihnya golongan Nasrani dalam menyanjung Īsa ibn Maryam 'alaihis-salām”.
Kerana makna hadith tersebut ialah; jangan kamu mengangkatku lebih daripada martabatku sebagaimana golongan Nasrani mengangkat Nabi Isa alaihis-salām lebih dari martabatnya.
Mereka (Nasrani) telah menjadikan Isa sebagai tuhan mereka.
Adapun apa yang kita lakukan pada sambutan Maulid Nabi bukan mengangkat Nabi Muhammad lebih daripada martabat baginda bahkan ia adalah suatu kesyukuran kepada Allah ta^ala atas kelahiran baginda ﷺ.
Justeru, sabda baginda: “لا تُطْرُوني” bukan bermakna “Jangan kalian memujiku secara mutlak (dalam apa jua keadaan)”, bahkan yang benarnya hendaklah dikatakan: “Apa yang melampau maka ia adalah dilarang dan apa yang tidak sampai ke tahap itu maka tiada sebarang larangan”. Jika tidak, bagaimana mungkin Rasulullah ﷺ telah mengizinkan bapa saudara baginda iaitu al-'Abbās raďiyallalāhu 'anhu memujinya, bahkan baginda Nabi mendoakan beliau (atas perkara tersebut).
Telah thabit dengan periwayatan sanad yang hasan sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Ĥajar al-'Asqalāni dalam kitabnya al-Amālī bahawa bapa saudara Rasulullah ﷺ , al-Abbas raďiyallāhu 'anhu telah berkata :
يا رَسولَ الله إِنِّي امْتَدَحْتُكَ بِأبْياتٍ
"Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku telah memujimu dengan bait- bait syair".
Rasulullah ﷺ menjawab :
قُلْهَا لا يَفْضُضِ اللهُ فاكَ
"Sebutkanlah, semoga Allah ta'ala menjaga atau memelihara mulutmu".
Antara yang disebut oleh al-'Abbās raďiyallāhu 'anhu dalam memuji baginda Nabi ﷺ ialah:
وَأَنْتَ لَمَّا وُلِدْتَ أشْرَقَتِ الأَرْضُ وَضاءتْ بِنُورِكَ الأُفُقُ
"Dan Engkau, apabila engkau dilahirkan, maka teranglah bumi dan bersinarlah ufuk langit dengan cahayamu".
والله أعلم وأحكم
Layari Page FB :
Program terkini Baitussaadah :
Jelas dalilnya 👍
ReplyDelete